1.6.10

Komando Israel serang kapal bantuan



SEBUAH bot tentera Israel mendekati sebuah kapal bantuan ke Gaza pada waktu pagi semalam.


BAITULMAQDIS – Sebanyak 19 orang terbunuh kebanyakannya rakyat Turki manakala berpuluh-puluh yang lain cedera selepas anggota-anggota komando Israel menyerbu enam buah kapal yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin yang sedang dalam misi menghantar bantuan termasuk dari Malaysia kepada penduduk Palestin di Genting Gaza semalam.

Operasi ketenteraan di perairan antarabangsa dekat dengan pesisir pantai Gaza itu bukan sahaja bertukar menjadi mimpi ngeri bagi Israel berikutan ia menjejaskan reputasi negara berkenaan di kaca mata masyarakat antarabangsa, bahkan ia memburukkan lagi hubungan tegang negara itu dengan dengan sekutunya, Turki serta membuka mata dunia terhadap penderitaan penduduk Gaza.

Kedua-dua belah pihak memberi kenyataan bercanggah berhubung apa yang berlaku pada hari kejadian.

Seorang wartawan di dalam salah sebuah kapal misi bantuan itu berkata, anggota-anggota komando Israel melepaskan tembakan sebelum menaiki kapal mereka tetapi pihak Israel memberi alasan kononnya mereka hanya melepaskan tembakan setelah diserang aktivis-aktivis berkenaan dengan menggunakan kayu, pisau dan senjata api.

Ketika kejadian, aktivis-aktivis itu sedang menuju ke Gaza bagi mengalih perhatian dunia terhadap sekatan laut selama tiga tahun yang dikuatkuasakan Israel selepas Hamas mengambil alih kuasa di wilayah berkenaan.

“Sungguh menjijikkan kerana mereka (pasukan komando Israel) menceroboh kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam,” kata jurucakap Gerakan Membebaskan Gaza, Greta Berlin, yang menganjurkan misi armada bantuan tersebut.

Bercakap dari pulau Cyprus di timur luat Mediterranean, wanita itu berkata, dia terputus hubungan dengan armada kecil itu ada pukul 3.30 pagi waktu tempatan.

Israel sebelum ini mengisytiharkan untuk tidak membenarkan kapal-kapal itu sampai ke Gaza.

Menurut seorang aktivis Palestin di Greece yang terbabit dalam misi bantuan tersebut, pasukan komando Israel menyerbu semasa bot dan sebuah kapal itu berada di perairan antarabangsa setelah mengarahkan misi berkenaan berhenti kira-kira 130 kilometer dari perairan Gaza.

Sebuah laman web Turki menunjukkan rakaman video keadaan huru-hara di atas kapal itu dengan aktivis-aktivis memakai jaket keselamatan berlari-lari di dalam kapal manakala sesetengahnya cuba membantu seorang rakan mereka yang tidak sedarkan diri di atas dek.

Laman web berkenaan turut menunjukkan sebuah helikopter Israel sedang berlegar di atas kapal itu dan beberapa kapal perang Israel yang berada berdekatan.

Kapal-kapal misi bantuan itu kemudian ditunda ke pelabuhan Ashdod di Israel manakala mangsa-mangsa cedera dibawa keluar dengan helikopter bagi menerima rawatan di hospital-hospital Israel.

Setakat ini, tiada maklumat mengenai identiti mangsa yang terbunuh atau cedera mahupun keadaan beberapa individu berprofil tinggi di atas kapal-kapal tersebut termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara, beberapa wakil rakyat Eropah dan mangsa yang terselamat dalam kejadian pembunuhan besar-besaran kaum Yahudi oleh tentera Nazi, Hedy Epstein, 85.

Semua telefon satelit di atas kapal-kapal itu dimatikan dan komunikasi dengan sekumpulan kecil wartawan yang menyertai tentera Israel turut disekat.

Gerakan Membebaskan Gaza adalah sebuah pertubuhan antarabangsa yang mendakwa sekatan terhadap Gaza tidak adil dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. – AP

======================================

KUALA LUMPUR: “Sejak tengah malam semalam (kelmarin) saya cuba hubungi suami tapi tak dapat. Alhamdulillah, jam 6 petang tadi (semalam), suami hubungi dan beritahu dia selamat,” kata Dr Yuhanis Fazlina Fazil, 36.

Suaminya, Ahli Parlimen kawasan Parit, Mohd Nizar Zakaria, 41, adalah seorang daripada anggota konvoi misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza membabitkan enam kapal dan sebuah daripada kapal berkenaan, Mavi Marmala diserang komando tentera laut Israel jam 10.30 pagi (waktu Malaysia) semalam. Dr Yuhanis berkata, dalam perbualan telefon kira-kira 10 minit itu, Mohd Nizar memberitahu dia sudah dimaklumkan bahawa Israel akan menyerang kapal misi bantuan terbabit.


“Kami hanya dapat berbual seketika. Perkara pertama suami beritahu ialah kapal Rachel Corrie yang dinaikinya bersama dua petugas TV3 tidak terbabit dalam serangan itu.


“Suami juga memaklumkan tak mengetahui status kedudukan kapal dinaikinya ketika itu...dia kata hanya di kelilingi laut. Ke mana arah perjalanan selepas ini sama ada meneruskan misi atau berpatah balik juga tidak diketahuinya,” katanya.


Dr Yuhanis berkata, suaminya sempat bertanya mengenai bayi lelaki mereka, Mohd Nursharir yang belum pun sebulan usianya ketika Mohd Nizar menyertai misi Perdana Global Peace Organisation (PGPO) pada 22 Mei lalu.


Sementara itu, jurucakap TV3 ketika dihubungi berkata, kapal Rachel Corrie yang membawa wartawan Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin terselamat daripada serangan itu disebabkan tertinggal jauh di belakang.


“Sebelum ini, kapal terbabit terpaksa memperlahankan kelajuan kerana menghadapi masalah teknikal.


“Kapal terbabit belum sempat memasuki perairan Gaza ketika serangan Israel terhadap kapal Turki Mavi Marmara yang sudah berada jauh di hadapan,” katanya.

=======================================================

Flotila bantuan tak bawa senjata

KUALA LUMPUR 31 Mei - Salah seorang aktivis pro-Palestin dari Malaysia yang menyertai 'Flotila Pembebasan' membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza menafikan aktivis pro-Palestin yang menaiki kapal Mavi Marmara membawa senjata.

Seorang wakil delegasi Malaysia daripada Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal ketika menghubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, tidak ada seorangpun aktivis mahupun kapal-kapal yang menyertai 'Flotila Pembebasan' ke Gaza membawa senjata.

''Setiap kapal yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ini telah diperiksa setiap kali sampai di pelabuhan-pelabuhan negara-negara terbabit.

''Kami (kapal-kapal) telah diperiksa dengan ketat semasa tiba di Ireland, Cyprus, Gilbralta dan Malta,'' katanya.

Beliau berkata, Israel sengaja menggunakan alasan itu untuk menyerang kapal Mavi Marmara.

Shamsul Akmar yang menaiki kapal Rachel Corrie menyertai konvoi kapal-kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza itu kini berada di belakang setelah kapal itu terlewat berlepas dari Malta apabila pihak berkuasa Cyprus enggan memberi kebenaran kepada kapal tersebut berlepas melalui pelabuhannya.

''Kami terlewat berlepas kerana terpaksa menggunakan laluan dari Malta untuk berlepas setelah Cyprus enggan membenarkan kami berlepas dari pelabuhannya,'' kata beliau.

Menurutnya, kapal Rachel Corrie yang mereka naiki berlepas malam tadi dan kini berada 800 batu nautika dari Gaza.

''Kapal kami kini berada di Laut Mediterranean pada pukul 11 pagi (kira-kira pukul lima petang waktu Malaysia) pada jarak 800 batu nautika dari Gaza,'' katanya.

Shamsul Akmar berkata, kapal Rachel Corrie dijangka tiba dalam masa dua hari lagi bersama dua lagi kapal Challenger 1 dan Challenger 2 yang bertolak lebih awal.

Beliau berkata, semua kapal yang menyertai misi itu tidak membawa senjata kerana misi turut disertai seorang tokoh Nobel Keamanan, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland dan bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Denis Halliday.

Menurutnya, sebanyak sembilan kapal menyertai flotila tersebut bersama-sama 700 aktivis pro-Palestin.

Beliau melahirkan rasa sedih dengan berita kapal Mavi Marmara diserang tentera Israel dan mendoakan aktivis pro-Palestin yang lain yang berada di atas kapal itu selamat.

Menurutnya, terdapat empat wakil Malaysia dalam kapal Turki itu termasuk dua wartawan Malaysia.

Seramai 16 aktivis pro-Palestin terkorban dalam serangan tentera Israel itu pagi ini waktu tempatan. - Utusan


======================================================


Flotila Gaza diserang Israel


Kapal Mavi Marmara


BAITULMAQDIS 31 Mei - Sekurang-kurangnya 19 terkorban dan 30 lagi cedera apabila komando Israel hari ini menyerang flotila yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, setelah mendakwa mereka menghadapi tentangan tidak disangka-sangka ketika menaiki kapal tersebut.

Sebuah badan amal Turki menyatakan bahawa kebanyakan mangsa yang maut terdiri daripada rakyat negara itu.

Kedua-dua belah pihak memberi maklumat berbeza-beza tentang apa yang berlaku dengan rejim Zionis mengarahkan semua maklumat berhubung mangsa yang cedera atau terbunuh dalam operasi kejam itu dihalang daripada disebarkan.

Berita terkini yang diperolehi menerusi khidmat pesanan ringkas daripada konvoi Life Line for Gaza (LL4G) dari Malaysia menyatakan bahawa satu daripada enam kapal dalam misi itu, Mavi Marmara telah diserang oleh helikopter tentera Israel pada pukul tujuh pagi waktu Mekah (kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).

Persoalan masih berlegar mengenai nasib penerima anugerah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara dan ahli Parlimen Eropah yang juga bangsa Yahudi yang terselamat dari Holocaust, Hedy Epstein, 85.

Sementara itu, nasib wartawan Malaysia dari saluran Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latip masih belum diketahui, namun enam lagi rakyat Malaysia lain berada dalam keadaan selamat.

'Flotila Pembebasan' itu menuju ke Gaza dalam misi untuk menarik perhatian dunia mengenai kepungan selama tiga tahun rejim Zionis ke atas wilayah Palestin itu selepas pergerakan Hamas mengambil alih kuasa di sana.

Kumpulan kapal itu mula menuju Gaza dari perairan antarabangsa Cyprus pada pukul tiga petang (pukul lapan malam tadi waktu Malaysia), dengan harapan dapat memasuki perairan Gaza pada waktu siang,

Enam jam selepas bertolak, tiga bot peluru berpandu Israel meninggalkan bandar Haifa untuk memintas flotila itu.

"Amat menjelikkan bila mereka naik ke atas kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam," kata jurucakap pergerakan Free Gaza, Greta Berlin yang menganjurkan flotila itu.

Hamas hari ini turut menyeru negara-negara Arab dan umat Islam 'bangkit' mengadakan protes di hadapan Kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah tindakan pasukan tentera laut rejim Zionis Israel itu,

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai 'pembunuhan besar-besaran' sementara Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa menyifatkan ia sebagai 'jenayah' ke atas misi kemanusiaan.

Moussa juga meminta mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh badan yang dianggotai 22 negara Arab itu terhadap 'tindakan pengganas' Israel ke atas flotila bantuan antarabangsa itu.

Flotila tiga kapal kargo dan tiga kapal penumpang itu mengangkut 10,000 tan bahan bantuan dan 700 aktivis yang dilarang oleh rejim Zionis seperti simen dan bahan-bahan pembinaan lain.

Ini adalah kali kesembilan pergerakan Bebaskan Gaza cuba membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Ogos 2008.

Israel membenarkan kapal seumpamanya masuk lima kali tetapi telah menarik balik kebenaran itu daripada memasuki perairan Gaza sejak serangan ketenteraan Zionis ke atas Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009. - AFP/AP/Utusan

=========================================================


EU desak siasatan segera kematian aktivis pro-Palestin

BRUSSELS 31 Mei - Kesatuan Eropah (EU) menuntut diadakan siasatan segera mengenai kematian aktivis di atas kapal bantuan kemanusiaan Palestin yang dirampas tentera Israel hari ini dan mahu rejim tersebut membenarkan laluan bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza.

EU juga memanggil satu mesyuarat tergempar negara-negara ahli ke Brussel bagi membincangkan insiden tersebut yang mengorbankan sekurang-kurangnya 19 nyawa selepas enam kapal cuba melepasi sekatan Israel ke atas wilayah yang dikuasai pejuang Islam Palestin.

"Perwakilan Tinggi Catherine Ashton melahirkan rasa kekesalan terhadap berita korban nyawa dan keganasan yang berlaku serta menyatakan rasa simpati beliau kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera," kata jurucakap Ashton yang merupakan Ketua Polisi Luar EU.

"Bagi pihak EU, beliau meminta supaya satu inkuiri penuh diadakan bagi menyiasat bagaimana ia boleh terjadi."

Jurucakap tersebut berkata, Ashton juga mengulangi pendirian EU berhubung penutupan Gaza dengan mengatakan ia tidak boleh diterima dan tidak meningkatkan produktiviti dari segi politik.

Beliau menyeru Israel membuka laluan untuk bantuan kemanusiaan, barangan komersial dan laluan orang ramai keluar dan masuk ke Gaza dengan segera, secara berterusan dan tanpa bersyarat.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membatalkan pertemuannya dengan Presiden Barack Obama di Washington esok, berikutan tindakan keras tentera Zionis ke atas kapal kemanusiaan menuju ke Gaza hari ini.

"Netanyahu memutuskan untuk memendekkan lawatannya ke Kanada dan pulang lebih awal ke Israel,'' menurut kenyataan kerajaan rejim Zionis. Netanyahu berada di Kanada sejak Jumaat. - REUTERS


====================================================

Israel bunuh aktivis misi Gaza


2010/06/01

KOMBINASI gambar (atas) menunjukkan salah sebuah kapal yang  mengambil bahagian dalam misi bantuan antarabangsa membentuk armada  ‘Freedom Flotilla’ ke Gaza. Gambar bawah menunjukkan  helikopter Israel terbang dekat kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan  untuk penduduk Gaza. Foto sebelahnya pula dirakam saluran televisyen  Turki menyaksikan tentera laut Israel mendekati kapal aktivis.
KOMBINASI gambar (atas) menunjukkan salah sebuah kapal yang mengambil bahagian dalam misi bantuan antarabangsa membentuk armada ‘Freedom Flotilla’ ke Gaza. Gambar bawah menunjukkan helikopter Israel terbang dekat kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan untuk penduduk Gaza. Foto sebelahnya pula dirakam saluran televisyen Turki menyaksikan tentera laut Israel mendekati kapal aktivis.
Komando Yahudi gempur enam kapal bantuan bawa bekalan kemanusiaan

ASHDOD: Komando Israel menyerbu beberapa kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza awal semalam menyebabkan 19 orang maut dan 36 lagi cedera, kebanyakannya aktivis Turki sekali gus mencetuskan krisis diplomatik antarabangsa.
Anehnya, Israel menyalahkan aktivis kerana mencetuskan keganasan hingga membawa kematian menyebabkan aktivis memberi keterangan bagaimana ia berlaku di perairan antarabangsa.

Rakaman secara langsung sebuah bot Turki yang boleh dilihat di internet, menunjukkan komando berpakaian hitam Israel turun dari helikopter dan menyerang aktivis.

“Ketika keadaan masih gelap, komando Israel turun dari helikopter ke kapal Mavi Marmara dan terus melepaskan tembakan sebaik menjejakkan kaki di dek,” menurut laporan laman web Pergerakan Bebaskan Gaza.

Rakaman itu menunjukkan keadaan kacau bilau dengan beberapa bot peronda Israel berada tidak jauh dari situ.

Tentera Israel, bagaimanapun, mendakwa askarnya hanya menembak selepas diserang dengan pisau, cotar dan tembakan peluru hidup.
“Kesan daripada keadaan itu anggota tentera laut menggunakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan,” menurut jawapan tentera Yahudi itu.

Apapun, Israel tetap mempersalah aktivis damai terbabit.

“Mereka yang memulakan keganasan. Kami berusaha sedaya upaya mengelakkannya. Tetapi askar kami diserang dengan pisau, besi serta ditembak,” kata jurucakap Netanyahu, Mark Regev.

Antara yang cedera termasuk komando laut Israel, dua daripada mereka parah dan tiga lagi semakin pulih.

Ketika butir-butir pertumpahan darah itu mula diketahui umum, sebuah bot tentera Israel dilihat mengiringi kapal besar berwarna putih dan sebuah lagi kapal lebih kecil masuk ke pelabuhan Ashdod.

Lelaki berpakaian hitam dilihat di dek bot lebih besar dipercayai kapal penumpang. Laporan media menyatakan, seorang pemimpin Arab, Raed Salah juga cedera dalam kejadian itu.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan korban serangan di perairan antarabangsa itu sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai Yahudi dan mengumumkan tempoh berkabung tiga hari.

“Kita perlu ambil keputusan yang sukar hari ini,” kata seorang pegawainya di televisyen tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga menggesa diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan tindakan umpama lanun, jenayah dan pembunuhan oleh Israel, kata ketua perunding, Saeb Erakat.

Selain itu, masyarakat Arab Israel juga menyarankan mogok diadakan sebagai membantah operasi laut Yahudi itu selain melancarkan protes.

Berikutan itu, beratus-ratus orang daripada pelbagai peringkat politik keluar beramai-ramai ke jalan raya di bandar Nazareth bagi membantah serangan berkenaan.

Pergerakan Hamas pula meminta PA berhenti berunding dengan Israel kerana melakukan jenayah terkutuk itu, kata pemimpinnya, Ismail Haniyeh.

1 comment:

Yiedpozi said...

kejam sunggun Israel ni...